Soalan 1
Sahabat
anda dari sebuah negara jiran menulis surat kepada anda untuk bertanya
tentang faktor-faktor kejayaan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum
di negara anda.
Jawab surat itu selengkapnya.
Lot 5246, Jalan Kapor 91,
Lot 5246, Jalan Kapor 91,
Legendry Villa,
93150 Kuching,
Sarawak,
Malaysia.
10 April 2011
Menemui saudara Adrian yang kini berada di Singapura. Semoga saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Saudara,
Apa
khabar saudara? Saya di sini dalam keadaan sihat walafiat. Surat
saudara telah selamat saya terima minggu lalu. Maafkanlah saya kerana
lewat membalas surat saudara kerana saya sibuk dengan persediaan sukan
tahunan sekolah. Dalam warkah tersebut, saya telah dimaklumkan bahawa
saudara berminat untuk mengetahui faktor-faktor kejayaan negara saya
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia. Tanpa
mengecewakan saudara, saya akan berkongsi segala maklumat tentang isu
tersebut dengan saudara.
Malaysia
merupakan sebuah negara yang sedang membangun, bukan sahaja dari segi
ekonomi tetapi bidang pertanian, perindustrian, sukan dan lain-lain.
Malaysia dikategorikan sebagai negara yang istimewa kerana mempunyai
pelbagai kaum serta berbilang etnik. Sebagai contohnya, tiga kaum utama
iaitu Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain seperti Kadayan,
Kenyah hidup dalam suasana rukun dan damai. Perkembangan negara yang
pesat berserta dengan keadaan yang keistimewaan ini membolehkan negara
Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, China
termasuklah negara saudara, Singapura. Kejayaan negara Malaysia
mengekalkan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum sejak merdeka
hingga kini telah menunjukkan pencapaian negara yang amat mengagumkan.
Jadi, tidak silaplah jika saudara ingin mengetahui resipi-resipi
kejayaan negara saya menyatupadukan masyarakat untuk menambah
pengetahuan saudara.
Saudara,
Untuk
pengetahuan, usaha Malaysia dalam menyatupadukan masyarakat berbilang
kaum nescaya tidak membuahkan hasilnya tanpa pegangan teguh konsep atau
gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kami. Saudara
tentu tidak memahami konsep ini, janganlah saudara risau, kerana saya
akan menjelaskannya. Sebenarnya, konsep 1Malaysia ini telah wujud
semasa Perdana Menteri kami yang ke-6, yakni Datuk Seri Najib Tun Razak
mula memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri. Gagasan
1Malaysia ini secara jelasnya mengutamakan keadilan dan kesaksamaan
dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan
agama, iaitu usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia berdasarkan
pembentukan warganegara yang menganut pelbagai budaya dan agama, dan
bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama. Dengan menghayati konsep
ini, kebajikan setiap kaum dapat dijaga, malah dipenuhi. Misalnya, dari
segi pendidikan, semua pelajar diberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) secara automatik untuk melanjutkan pelajaran sekiranya
berjaya mendapat keputusan cemerlang, yakni 9A+ dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira warna kulit atau status kaum.
Dalam bidang kesihatan pula, kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia
yang diwujudkan untuk membolehkan setiap warganegara Malaysia menikmati
khidmat perubatan yang baik dengan kos bayaran yang rendah, serendah
RM1. Usaha ini turut dilaksanakan untuk merealisasikan perpaduan
masyarakat pelbagai kaum. Prakarsa yang efisien seperti memperbanyak
sekolah kebangsaan, memperbanyak aktiviti yang menyumbang kepada
perpaduan seperti aktiviti kemasyarakatan, bergotong-royong dan
sebagainya telah dilakukan. Ikhtisarnya, konsep 1Malaysia yang dapat
menyumbang kepada perpaduan telah menjadi alat perjuangan kerajaan dalam
menyatupadukan rakyat jelata.
Selain
itu, rakyat diseru supaya sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan
pertelingkahan dan perselisihan faham. Rakyat Malaysia disemai semangat
kekitaan, iaitu sebagai warganegara Malaysia, kita merupakan satu
keluarga. Justeru, masyarakat yang berbilang kaum dinasihati supaya
tidak mengkritik kaum dan agama yang lain. Jurang ekonomi atau jurang
status kehidupan penduduk juga dikurangkan. Kita sedar bahawa
persefahaman antara kaum adalah asas kepada perpaduan dan seharusnya
dipraktikkan dalam diri generasi muda terutamanya sejak di bangku
sekolah. Sekolah yang merupakan alma mater telah
menyisipkan nilai-nilai murni dalam atma setiap pelajar. Sebagai
contohnya, nilai toleransi, nilai hidup bersama secara aman, nilai kasih
sayang dan sebagainya. Dengan adanya nilai-nilai murni ini dalam diri,
pelajar sedar bahawa mereka sebenarnya merupakan satu bangsa walaupun
berlainan kulit tetapi matlamat untuk memperjuangkan nasib tanah air
yang disayangi adalah sama. Dalam konteks yang sama, kepentingan
perpaduan juga diselitkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral,
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Agama Islam.
Lantaran itu, pelajar didedahkan dengan kepentingan menjaga keharmonian
antara kaum dan tidak kurang juga menghormati antara agama, adat,
kebiasaan dan kepercayaan kaum lain. Penyertaan dalam aktiviti atau
kelab juga merupakan pemangkin kepada perpaduan. Sesebuah organisasi
kelab atau sukan yang disertai berbilang kaum merupakan jalan permulaan
ke arah menyatupadukan warganegara Malaysia. Hal ini demikian kerana
mereka dapat saling memahami antara satu sama lain melalui interaksi di
sekolah. Izharnya, anak watan Malaysia yang mengutamakan kejayaan dapat
dilahirkan dengan adanya semangat bersaing, menghargai negara yang
dicintai dan yang paling penting semangat bersatu padu dan saling
menghormati.
Sementelahan
itu, kerajaan juga mengambil inisiatif yang proaktif dengan
menggalakkan rakyat saling mengambil berat dan mengunjungi antara satu
sama lain sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Hidup berjiran dengan
kaum yang lain turut mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain. Hal
ini kerana jiran sepakat membawa berkat. Dengan sentiasa bertegur sapa
dan berkongsi pahit dan manis bersama, hubungan antara jiran nescaya
akan menjadi erat. Semasa musim perayaan, kami saling mengunjungi
antara satu sama lain. Dengan adanya rumah terbuka semasa sambutan
Hari Raya, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai dan sebagainya,
kami dapat merasai dan memahami budaya yang berbeza daripada pelbagai
kaum seperti budaya masyarakat Cina yang tidak menyapu rumah mereka
ketika perayaan kerana dikhuatiri akan turut menyapu segala rezeki dan
keuntungan yang ada. Kami juga berpeluang merasai masakan tradisional
yang berlainan seperti rendang, kari ayam, maruku, nasi ayam Hainam dan
sebagainya. Pada masa yang sama, kami juga berpeluang menyaksikan
keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum, contohnya, baju kurung,
chengsam, sari dan sebagainya. Untuk mengukuhkan perpaduan, sistem
jiran tetangga juga dihidupkan semula. Dalam sesebuah komuniti,
pelbagai kaum bersendel bahu dalam menjalankan misi atau aktiviti
umpamanya gotong-royong membersihkan persekitaran, gotong-royong ketika
kenduri-kendara, dan sebagainya. Hal ini tentu akan mengeratkan
hubungan silaturahim antara kaum dan kerja dapat disiapkan dengan lebih
berkesan. Interaksi sesama kaum juga dapat ditingkatkan. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa
kemesraan hubungan antara kaum melalui kunjungan semasa majlis rumah
terbuka dan sokongan terhadap sistem jiran tetangga dapat menyatupadukan
masyarakat berbilang kaum.
Di
samping itu, media massa juga memainkan peranan yang signifikan dalam
usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum. Media massa merupakan
wahana yang utama untuk menyalurkan informasi kepada masyarakat. Mesej
atau artikel yang berkaitan semangat perpaduan dan menggalakkan
perpaduan telah disampaikan melalui surat khabar, majalah, poster,
internet dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, karya sastera seperti
“Seuntai Kata Untuk Dirasai”, “Dirgahayu Bahasaku” dan sebagainya
daripada karya sasterawan negara yang tersohor, yakni A. Samad Said dan
lain-lain lagi juga telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan melalui
mata pelajaran bahasa. Tambahan pula pelbagai ceramah oleh tokoh-tokoh
yang boleh memberikan impak yang positif juga diadakan. Untuk
pengetahuan sudara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib sering mengadakan
perjumpaan dengan rakyat jelata, apatah lagi apabila menjelang musim
pilihan raya negeri saya, negeri Sarawak yang sudah berlalu pada 16
April lalu, kebanyakan isu yang menjadi fokus adalah tentang peri
pentingnya semangat perpaduan antara kaum dan gagasan 1Malaysia.
Kempen-kempen yang berkesan seperi “Kempen Hidup Bersama Secara Aman”,
“Kempen Satu Bangsa, Satu Negara”, “Kempen Kekalkan Peraduan” juga
dilaksanakan secara efektif, istiqamah dan bukan hangat-hangat tahi ayam.
Klip video atau iklan mengenai kepentingan perpaduan juga dipaparkan
melalui media elektronik, misalnya, melalui kaca televisyen atau
internet. Hal ini menyuntik semangat kepada warganegara, terutama
generasi muda untuk terus memelihara perpaduan kaum kerana mereka adalah
generasi pelapis yang akan terus membangunkan negara, bak kata pepatah,
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Intihanya,
pelbagai faktor telah menyumbang kepada kejayaan menyatupadukan
masyarakat berbilang kaum di negara saya. Walau bagaimanapun, anggota
masyarakat harus bersendel bahu dan menggalas tanggungjawab serta
obligasi masing-masing dalam merealisasikan hasrat memupuk perpaduan,
bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Dengan
itu, barulah Wawasan 2020 dapat dicapai dan kelestarian hidup harmoni
dapat dijamin. Sekian sahaja dan sampai di sini sahaja coretan kali
ini, sambutlah salam sejahtera daripada saya untuk saudara dan
keluarga. Jumpa lagi di lembaran yang akan datang.
Sahabatmu,
Alvin
80 markah
B - ayat gramatis, lancar
- ada sedikit kesalahan kosa kata. Cuma kurang rangkai kata menarik / peribahasa digunakan
I - menepati tugasan
- setiap huraian idea jelas, berkembang
No comments:
Post a Comment