SOALAN 1
Pengguna-pengguna hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan mereka dan keluarga. Antara masalahnya ialah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Masalah ini, jika gagal ditangani dengan segera boleh menimbulkan pelbagai masalah yang serius terhadap masyarakat dan negara.
Bincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini supaya tidak terus berlarutan dan menjadi semakin serius.
Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan
kekurangan bekalan makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan
tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan ekonomi, masalah kenaikan harga barangan dan
kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan sahaja merunsingkan
masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa susahnya
kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalah serentak. Walau bagaimanapun, pelbagai mekanisme dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita hari ini?
Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Langkah pemantauan harga barangan dan penetapan harga siling harus dilaksanakan secara istiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang akan menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan menetapkan harga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan seperti harga gula
RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus
menguatkuasakan undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang
yang sedia ada. Kita sememangnya difahamkan bahawa undang-undang yang luwes
tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan penguatkuasaan
undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang setimpal
atau lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan
sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau
menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Dalam konteks yang sama,
kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan Pengguna serta
melindungi hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa
cara sekalipun. Tindakan pantas terhadap laporan kenaikan harga barangan sesuka
hati atau kekurangan bekalan makanan di pasaran haruslah diambil supaya
kebajikan dan hak rakyat sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja,
kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan
Sederhana (IKS) serta aktiviti pertanian. Hal ini bertujuan memastikan
rakyat mendapat bekalan makanan yang berterusan. Sementelahan
itu, kerjaaan perlu meningkatkan import makanan sekiranya masih
berlakunya kekurangan seperti bekalan gula dan beras. Untuk menjayakan
usaha ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan dan kerajaan
juga wajib meningkatkan teknologi pertanian seperti penggunaan mesin,
pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman
aeroponik, hidroponik atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak
hasil pertanian yang menyumbang kepada kelangsungan bekalan makanan.
Jelasnya, peranan kerajaan amat penting dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan dalam menangani masalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa haruslah mendedahkan isu kenaikan harga barangan serta masalah kekurangan
bekalan makanan di pasaran kepada masyarakat. Informasi atau berita
tersebut boleh disampaikan menerusi kaca televisyen, iklan, surat
khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya. Dengan itu, masyarakat
akan membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut. Senarai barangan kawalan
juga harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan pengguna,
terutamanya semasa hari perayaan. Misalnya, barang-barang yang
disenaraikan sebagai barang kawalan adalah seperti daging ayam, gula,
telur ayam, tepung dan sebagainya. Implikasinya, masyarakat akan menjadi
lebih berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna yang bijak serta tidak
mudah diperdaya oleh peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau pindaan
dalam senarai barang kawalan, maka maklumat tersebut perlu diumumkan
supaya hak pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga
tidak boleh dikesampingkan misalnya, media massa boleh menggiatkan serta
menggerakkan kempen berjimat cermat, kempen pertanian sebagai
perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih masyarakat agar
sentiasa bersedia dan tidak panik ketika masalah kenaikan harga barangan dan
kekurangan bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai
perniagaan juga akan dapat merangsangkan minat golongan muda untuk
bergiat aktif dalam bidang pertanian atau menerimanya sebagai kerjaya.
Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut
keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu
profesion yang dapat menjamin peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor
pertanian digiatkan, nescaya bekalan makanan di pasaran akan meningkat.
Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan media massa dalam menangani masalah-masalah ini.
Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini.
Mereka harus faham akan kebaikan amalan bijak berbelanja dan
mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. Segala perbelanjaan
yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan pemborosan
dan pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah,
masyarakat haruslah menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak
membeli barangan secara berlebihan. Tindakan bijak ini membolehkan pengguna membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan perbelanjaan boros, bak kata pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat juga harus mengetahui hak-hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli berkualiti dengan harga yang
berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau
mendapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka
kita sebagai mata dan telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal
tersebut kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas seperti
penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman penjara
boleh dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak
menggunakan kuasa untuk memboikot barangan,
peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku ketidakadilan
ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga
dinasihati supaya mengelak pembelian panik kerana tindakan sebegini
hanya akan menyebabkan stok barangan seperti minyak masak atau gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan, bak kata pepatah, menangguk di air keruh.
Oleh itu, sebagai tulang belakang negara, kita juga digalakkan
melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya percaya bahawa
segala keringat dalam menjana hasil pertanian adalah penting untuk
membanteras kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Tidak
kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan
undang-undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut
piawaian perniagaan dan bukan secara sesuka hati. Paling penting
peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan kepentingan orang lain.
Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan
bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Apabila telah tersemai nilai-nilai murni dalam diri dan mengamalkan
etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak akan menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Lantaran
itu, segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga.
Pengusaha dalam sektor pertanian juga harus bersikap inovatif,
terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Penyelidikan
dan pembangunan atau R&D untuk meningkatkan hasil keluaran haruslah
dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu mekanisme untuk menangani masalah kekurangan
bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil
keluaran malah, kualiti produk yang dihasilkan juga akan lebih baik. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor pertanian penting dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di negara ini.
Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah menggembleng kudrat untuk menangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menangani masalah tersebut hingga ke akar umbi.
78 markah
B - lancar dan laras bahasa sesuai
- cuma terlalu cuai ejaan
I - menjawab tugasan
- huraian jelas dan menarik
Awes60e 3arangan
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteOk,sangat bagus
ReplyDeleteGood trget spm ni
ReplyDeletekerja yg bagus..
ReplyDeleteBagus!
ReplyDelete👍🏻👍🏻👍🏻
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete