SOALAN 2
Masalah juvenil perlu diatasi dengan bijaksana kerana remaja hari ini adalah pemimpin pada hari esok.
Bincangkan kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil yang berlarutan sehingga menjadi masalah negara.
Marcapada,
kita acap kali tersentak dengan peningkatan drastik kes juvenil atau
delinkuensi yang melibatkan remaja yang masih berada di bangku sekolah.
Kes juvenil didefinisikan sebagai maslah sosial yang dilakukan oleh
remaja yang berumur di bawah 18 tahun. Statistik dan kajian menunjukkan
kes juvenil yang merangkumi pecah rumah, merempit, pemgambilan dadah,
meragut, merompak, bergaduh dan vandalisme telah mencapai tahap
kritikal dan menunjukkan kecenderungan untuk terus menular sekiranya
tidak dibendung dengan segera. Hal ini amat membimbangkan segenap
lapisan masyarakat keranan peranan remaja sebagai pemimpin pelapis
negara yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara akan terjejas
ekoran terjebak dalam salah laku sosial. Maka, langkah yang menyeluruh
dan efektif harus diambil dengan segera untuk mengatasi kebejatan akhlak
remaja yang mendorong peningkatan kes juvenil. Sebelum ini, kita harus
menimbang kewajaran membanteras kes juvenil menerusi pemerhatian
terhadap kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil.
Persoalannya, apakah kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil
yang dibiarkan berlarutan, lebih-lebih lagi kesan jangka panjang
terhadap negara.
Pada hemat saya, masalah juvenil akan menjejaskan usaha melahirkan modal insan berkualiti. Pihak
kerajaan amat menitikberatkan peranan yang dimainkan oleh remaja dalam
pembangunan negara dengan mengatur dan menyusun menjalankan pelbagai
usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Modal insan yang
seimbng dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial menjadi
kayu ukur untuk menjadi pemimpin. Namun, perbuatan remaja yang terlibat
dalam kes juvenil secara terang-terangan semakin bertambah. Hal ini
menggagalkan usaha pihak kerajaan untuk membentuk modal insan kelas
pertama. Penyediaan kemudahan prasarana pendidikan dan pelancaran
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memupuk nilai-nilai murni
dalam kalangan remaja dan melahirkan pelajar cemerlang tidak mencapai
matlamat yang disasarkan sekiranya remaja terus melibatkan diri dalam
kelangsangan atau keganasan. Usaha melahirkan modal insan yang
berkemahiran turut terbantut kerana remaja mudah terjebak dalam kegiatan
vandalisme dan gangsterime untuk mengisi masa senggangnya berbanding
dengan memanfaatkan masa tersebut untuk menimba ilmu menerusi pembacaan
mahupun membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Remaja yang mengejar keseronokan dan mengutamakan hedonisme
tentunya tiada keinginan untuk mengasah bakat sedia ada untuk menguasai
kemahiran tertentu apabila menjejaki alam pekerjaan yang penuh dengan
pancaroba. Remaja merupakan aset negara yang begitu berharga dan
menjadi penentu kepada masa depan sesebuah negara, bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Sekiranya kes juvenil kian meruncing dan tidak mendapat perhatian
serius anggota masyarakat, usaha melahirkan modal insan yang berkualiti
akan gagal sepenuhnya. Tidak syak lagi, fenomena inilah yang
membuktikan bahawa masalah juvenil telah menjadi masalah negara.
Sementelahan itu, penularan kes juvenil akan meningkatkan gejala sosial dalam negara tercinta ini. Hal
ini secara tidak langsung akan menggugat keharmonian masyarakat.
Bayangkan kita harus berwaspada dan sentiasa memegang erat beg tatkala
berjalan di kawasan yang sesak dengan orang ramai. Mata pula harus
ligat memerhatikan persekitaran dari semasa ke semasa. Mengapakah kita
harus berbuat begitu? Hal ini demikian kerana kita takut dirompak,
disamun atau menjadi mangsa ragut. Kepekaan sedemikian telah menjadi
elemen asas untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kes juvenil
dan tidak mahu berasa menyesal setelah tragedi menimpa kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Memandangkan kejadian ragut yang semakin berleluasa, kita sering berasa
sangsi terhadap orang lain, malah sentiasa berprasangka buruk terhadap
remaja berdasarkan perspektif sendiri. Namun, dapatkah kita menghalang
diri daripada ditimpa musibah dan mampukah kita berjaga-jaga pada setiap
masa? Jawapannya, tentulah tidak kerana mungkin pada suatu ketika kita
alpa dan malang tidak berbau.
Hidup dalam keadaan ini sudah tentu akan meningkatkan tahap stres
kerana kita tidak bebas bergerak, mempunyai prejudis terhadap orang lain
atau bimbang akan keselamatan diri setiap masa, baik ketika berada di
rumah apatah lagi ketika berada di luar rumah. Maka, keamanan hidup
bermasyarakat terjejas ekoran maslah juvenil yang semakin menjadi-jadi.
Tambahan pula, masalah juvenil akan meninggalkan kesan yang ketara kepada industri pelancongan.
Industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK). Industri ini bukan sahaja menjana ekonomi negara,
malahan menyediakan peluang pekerjaan kepada kebanyakan penduduk negara
kita yang berjumlah lebih 28 juta orang. Masalah juvenil menjadi faktor
yang boleh merencat kedatangan pelancong ke negara kita. Meskipun
pelancong dari seluruh pelosok dunia tertarik akan kecantikan alam
semula jadi negara kita seperti Gua Mulu, Tanah Tinggi Genting dan pusat
beli-belah seperti KLCC dan Megamall, mereka akan teragak-agak membuat
keputusan untuk melancong di negara kita setelah berfikir tentang
keselamatan diri mereka. Sebagai contoh pemberontakan rakyat yang
berlaku di Libya dan Mesir baru-baru ini untuk menuntut pemimpin veteran
mereka, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak untuk meletak jawatan, telah
menyebabkan rakyat asing di negara-negara tersebut segera pulang ke
tanah air masing-masing kerana bimbang keselamatan diri. Begitu juga
halnya dengan masalah juvenil, walaupun tidak mendatangkan implikasi
sebesar negara-negara yang goyah itu, namun turut mendatangkan impak
yang sama jika melibatkan kes pembunuhan. Sebagai contoh masalah
juvenil yang melibatkan buli sehingga membawa kematian secara sengaja
mahupun tidak sengaja sebagaimana kes Mohd Farid yang menemui ajalnya
setelah dibuli di salah sebuah sekolah si negeri Sembilan dan kes
seorang pelajar Tingkatan 3
yang dibuli oleh 9 orang pelajar di asrama sekolah di Oya, Sarawak,
tentunya akan menakutkan pelancong. Keadaan keselamatan yang tidak
terjamin ini, akan menyebabkan pelancong membatalkan niat mereka untuk
berkunjung ke negara kita. Hal ini akan mengurangkan pendapatan negara
dan tidak mustahil akan membantut hasrat untuk mencapai status negara
maju berdasarkan visi kudsi Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh mantan
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Di samping itu, imej negara Malaysia di seantero dunia akan tercalar ekoran dibelenggu masalah juvenil.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI)
akan berkurangan kerana pelabur yakin pelaburan mereka tidak akan
mendatangkan pulangan yang lumayan. Mereka tidak dapat menjamin atau
menjangka keselamatan pelaburan mereka di negara kita memandangkan
kebejatan akhlak para remaja yang mungkin akan menganggu gugat
keselamatan negara secara keseluruhannya. Kejadian juvenil yang mungkin
berlaku di depan mata pelabur asing, akan menghapuskan tanggapan baik
mereka terhadap Malaysia. Mereka akan menganggap Malaysia hanya indah khabar dari rupa.
Natijahnya, kurangnya kemasukan pelabur asing akan menjejaskan
pembangunan negara dan produktiviti negara kerana kekurangan modal untuk
menjalankan projek yang berimpak tinggi yang memerlukan kos yang
tinggi. Malahan, imej negara yang terjejas kerana berleluasanya masalah
juvenil dalam kalangan masyarakat turut menjejaskan hubungan diplomatik
negara kita dengan negara serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand
dan negara lain kerana kurang kepercayaan mereka terhadap negara kita.
Sudah pasti, keadaan inilah yang menjadi masalah negara yang perlu
diberi perhatian segera.
Akhirulkalam, usaha yang konsisten perlu dijalankan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagai aur dengan tebing
untuk membanteras kes juvenil selepas meneliti implikasi-implikasinya
terhadap negara. Menurut Henry Thoreau, “manusia dilahirkan untuk
meraih kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan.” Oleh itu, usaha
mengatasi masalah juvenil akan berjaya dengan kerjasama semua pihak
secara konsisten dan bukan sekadar bermusim sahaja kerana bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat.
76 markah
B - ayat gramatis
I - menjawab tugasan
- huraian perlu diperjelaskan lagi
No comments:
Post a Comment